Sunday, 10 July 2011

Kata-kata Guru Besar

Selamat sejahtera dan salam perpaduan diucapkan kepada semua!

Laman web sekolah ini adalah secara tidak langsung mengambarkan situasi yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Kota Samarahan pada tahun 2011 ini. Oleh itu, kewujudan laman web ini adalah sebagai rujukan kepada pihak ibu bapa,murid-murid, pelawat dan Bahagian Pendidikan Khas khususnya. Justeru itu, pihak sekolah sedaya upaya memperlengkapkan maklumat yang diperlukan dalam laman web ini.

Sesungguhnya ada segelintir pelajar istimewa ini mampu mengikuti pendidikan aliran Kurikulum Perdana, namun demikian, seluruh warga Pendidikan Khas perlu berusaha gigih dan bekerja kuat tiga-empat kali ganda untuk mencapai tahap cemerlang jikalau dibanding dengan sekolah biasa. Semangat kerjasama dan permuafakatan yang erat daripada ibu bapa, masyarakat sekitar, jabatan dan pihak sekolah amatlah perlu demi merealisasikan kejayaan mereka seiring dengan pelajar normal. Salah satu tujuan laman web ini adalah untuk memperlihatkan segala perkembangan kemajuan dan pencapaian pelajar sekolah ini yang direkod dalam bentuk analisis dan dirakam dalam bentuk gambar di dalam laman web ini untuk ditatap dan dirujuk.

Pihak sekolah sentiasa mempertingkatkan usaha dalam merancang,melaksanakan serta menilai segala aspek pengurusan perkhidmatan agar segala yang dicetuskan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mantap bagi menjamin kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum serta melahirkan insan-insan istimewa yang bukan sahaja boleh berdikari tetapi mempunyai ilmu pengetahuan yang setanding dengan pelajar-pelajar normal dan mampu memberi sumbangan ke arah pembangunan negara.

Akhir sekali dengan kehormatan dan kepercayaan yang diberi oleh Bahagian Pendidikan Khas, pihak sekolah akan sentiasa berusaha lebih gigih untuk mencapai tahap Sekolah Cemerlang,Gemilang dan Terbilang di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts